Arab Saudi umum beberapa peraturan menjelang Ramadan
ARAB SAUDI : Arab Saudi telah mengumumkan beberapa peraturan baharu yang harus dipatuhi sempena bulan Ramadan yang menjelang tidak lama lagi.
Menurut Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Saudi, Sheikh Dr Abdullatif bin Abdullaziz Al-Sheikh menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan, para imam dan muazzin dikehendaki hadir sepanjang tempoh Ramadan kecuali jika diperlukan di mana-mana tempat serta ketidakhadiran mereka haruslah tidak melebihi waktu yang ditetapkan.
Mereka dikehendaki melantik individu lain sepanjang ketidakhadiran itu dengan mendapatkan persetujuan Kementerian di wilayah tersebut di mana orang yang dilantik itu hendaklah berupaya memikul bertanggungjawab yang diberikan.
Penggunaan kamera bagi mengambil gambar imam mahupun jemaah yang ada adalah tidak dibenarkan sepanjang mereka menunaikan solat.
His Excellency the Minister of Islamic Affairs #Dr_Abdullatif_Al_Alsheikh issued a circular to all branches of the Ministry of the need to prepare mosques to serve the worshipers, as part of the Ministry's preparations to receive the Holy Month of #Ramadan 1444AH. pic.twitter.com/uTSJ0Jc5JE
— Ministry of Islamic Affairs 🇸🇦 (@Saudi_MoiaEN) March 3, 2023
Tambahan lagi, bacaan doa yang dibaca sewaktu menunaikan solat terawih pula haruslan dipendekkan dan dihimpunkan dengan doa-doa yang sahih serta bacaan doa yang berintonasi atau beralun juga harus dielakkan.
Pengumpulan sumbangan kewangan bagi projek berbuka puasa dan lain-lain adalah tidak dibenarkan serta mereka yang berbuka puasa juga hendaklah melakukannya di halaman masjid yang disediakan.
Bukan itu sahaja, peraturan itu turut menyeru para jemaah agar tidak membawa anak-anak mereka kerana dikhuatiri akan mengganggu jemaah yang lain yang sedang beribadah.
Surat pekeliling itu dikeluarkan kepada semua cawangan Kementerian sebagai sebahagian daripada persiapan bagi menyambut bulan suci Ramadan pada 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadan 1444 Hijrah.