DuniaKesihatanSemasa

Arab Saudi sediakan perkhidmatan kesihatan kepada 216,981 jemaah haji

RIYADH : Seramai 216,981 jemaah haji yang memasuki Arab Saudi melalui pintu masuk udara, darat dan laut menerima perkhidmatan dari Kementerian Kesihatan (MoH) negara itu sejak awal ketibaan musim haji.

Sebagai persiapan menghadapi musim haji 1443 Hijrah, MoH melengkapkan kemudahan kesihatannya untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kepada jemaah haji di Mekah, Tanah Suci dan Madinah.

Memetik laporan Saudi Gazette, jumlah hospital yang lengkap mencecah 25 hospital, yang disokong oleh 156 pusat kesihatan, manakala ia turut meningkatkan kapasiti hospital klinikal kepada 5,000 katil.

Menurut kementerian itu, seramai 209,865 jemaah yang tiba melalui pintu masuk udara sehingga Isnin lalu atau 97 peratus daripada jumlah ketibaan melalui semua pintu masuk mendapat perkhidmatan rawatan dan pencegahan.

Tambahnya lagi, rawatan pencegahan untuk meningitis diberikan melibatkan 10,101 jemaah, manakala vaksin polio kepada 31,936 jemaah dan vaksin demam kuning (12,145).

Manakala bagi laluan darat, jumlah jemaah yang mendapat perkhidmatan rawatan dan pencegahan membabitkan 4,626 jemaah atau dua peratus dan seramai 2,490 jemaah atau satu peratus mendapat perkhidmatan di pintu masuk laluan laut.

Jumlah jemaah yang mematuhi syarat kesihatan meningitis mencecah 211,826 jemaah haji, iaitu pada kadar 98 peratus, manakala 100 peratus atau 3,137 jemaah mematuhi syarat kesihatan polio mulut.

Bagi syarat kesihatan demam kuning pula, jumlah jemaah yang mematuhinya mencecah 11,522 jemaah haji, dengan peratusan 95 peratus.

Jumlah katil yang diperuntukkan untuk unit rawatan rapi (ICU) mencecah 1,053 katil, dan katil yang diperuntukkan untuk strok haba pula mencecah 241 katil.

Jumlah kader kesihatan yang layak berkhidmat untuk jemaah merangkumi kira-kira 25,000 pengamal kesihatan.

MoH turut menyediakan pusat perubatan dalam kereta api Al-Mashaer dan Al-Haramain, serta menggiatkan usahanya di kawasan tengah Masjidil Haram.

Antara persiapan haji, MoH turut menyediakan 180 ambulans, selain menubuhkan 17 pusat kecemasan di kemudahan jambatan Jamarat di Mina.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button