Hebat dan membanggakan itu yang boleh diungkapkan buat seorang gadis kelahiran Alor Setar, Kedah yang berjaya mengharumkan nama negara apabila dilantik menjadi seorang jurutera di syarikat automotif terkenal dunia, Tesla.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra (Ulul Albab), Besut, Fakhirah Khairuddin kini menetap di Fremont, California dan bertugas sebagai Pengajar Kejuruteraan Robotik Latihan Teknikal di Tesla.
Kejayaan Fakhirah mula menarik perhatian ramai menerusi perkongsian seorang kaunselor, Dr. Zulkifli Hussain mengenai pencapaian anak muda itu sehingga berjaya menempah nama di syarikat gergasi dunia.
Setelah tamat pengajian di MRSM, Fakhirah,25 menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, University of California San Diego di bawah tajaan MARA dan kemudiannya peringkat Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal di universiti yang sama dengan tajaan sepenuhnya oleh pihak universiti.
Berdasarkan perkongsian seorang pengguna Facebook, Richard Ker, sebelum menyertai Tesla, Fakhirah pernah bekerja sebagai Jurutera Pengembangan Propulsion di universiti dan menulis kod Matlab untuk mengkaji pengaliran haba enjin roket.
Pada 2019, projeknya yang diberi nama “CopyPasta” memenangi hadiah pertama untuk Cabaran Kejuruteraan Sistem Northrop Grumman. Bukan itu sahaja, sebagai pelajar Sarjana, dia juga mengusahakan grip monocoque diilhamkan oleh bentuk fizik kelawar pada hexacopter yang boleh digantung terbalik.
Kejayaan Fakhirah itu juga turut dikongsikan oleh MARA menerusi Twitter rasmi mereka dengan sekalung ucapan tahniah.
Pelajar MRSM Ulul Albab berjaya menjadi jurutera di sebuah syarikat gergasi di Amerika Syarikat iaitu TESLA.
Tahniah FAKHIRAH KHAIRUDDIN atas kejayaan anda dan menjadi produk kebanggaan buat MRSM !https://t.co/TzaDr0GyWA#mara #mrsm #amanahrakyat #kplb #luarbandarsejahtera pic.twitter.com/i8BZqvUkBn
— Majlis Amanah Rakyat (@maragov) August 6, 2021
Syabas! diucapkan buat saudari Fakhirah Khairuddin. Semoga kejayaan anda menjadi inspirasi buat seluruh ummah untuk menjadi yang lebih baik sekaligus, mengangkat martabat umat Islam dan nama negara di persada dunia.
Oleh Nurshazlin Shahrom