Amaran hujan lebat, ribut petir di Selangor dan beberapa negeri lain sehingga 6 petang ini
SHAH ALAM : Amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan berlarutan sehingga 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang merupakan antara kawasan yang terkesan.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka meliputi hampir semua kawasan.
Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Raub, Bentong, Maran, Pekan dan Rompin; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) selain Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Manakala di Kedah membabitkan Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim), Kelantan (Tanah Merah dan Machang) serta Terengganu (Besut, Hulu Terengganu dan Dungun).
Keadaan sama turut dijangka di Sarawak melibatkan Kuching (Bau), Sri Aman, Mukah (Matu dan Dalat), Kapit (Kapit dan Belaga), Miri (Miri) dan Limbang manakala Sabah di Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahat Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.