Semasa

Alun ayat suci Al-Quran di ladang kelapa sawit

PUTRAJAYA : Demi menyertai pertandingan hafazan al-Quran, Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, 16, sanggup berkampung di ladang kelapa sawit di Kampung Belukar Juling, Mersing, Johor untuk mencari akses Internet.

Kisah pelajar Pondok Moden Al Abaqirah di Gombak itu dikongsi di Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang gigih mahu menyertai pertandingan itu.

Haikal Firdaus memuat naik gambarnya dalam kereta dengan komputer riba dan iPad diletakkan di atas rehal di hadapannya.

Turut menemani pelajar itu di ladang kelapa sawit ialah bapanya, Mohd Jaafarudin bersama datuk, Mohd Nasir Mohd Din, 64, dan nenek, Asmah Jusoh, 63.

Haikal Firdaus berkata, dia menyertai pertandingan hafazan anjuran JAWI pada Rabu lalu namun, tiada akses Internet di kampung menyebabkan dia meminta bantuan datuknya mencari akses di kawasan ladang kelapa sawit.

Katanya, ujian menghafaz al-Quran secara maya itu sangat menguji kekuatan minda dan fizikal lebih-lebih lagi kepada peserta yang tinggal di kampung.

“Akses Internet yang perlahan menjadi cabaran dan ada ketika pada waktu malam terpaksa keluar rumah bagi membuat persiapan.

“Saya bersyukur usaha ini berbaloi apabila diumum sebagai johan hafazan al-Quran juzuk 1 hingga 20 dan menerima hadiah wang tunai RM4,000, pakej mengerjakan umrah untuk dua orang serta hadiah iringan.

“Ini adalah kejayaan kedua saya dan pada tahun lalu saya turut memenangi kategori sama. Saya bercadang membawa bapa, datuk dan nenek mengerjakan umrah bagi menghargai susah payah membantu sepanjang menyertai pertandingan ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, JAWI di FB berkata, usaha gigih Haikal Firdaus itu bagi memastikan mutu persembahan dan alunan ayat suci al-Quran dapat disampaikan dan diperdengarkan dengan jelas dan lancar.

“Tahniah adik Haikal Firdaus kami doakan kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.

Keputusan kemenangan Haikal Firdaus diumumkan JAWI semalam pada Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M yang disempurnakan Pengerusi JAWI, Datuk Dr Mohd Daud Bakar secara maya.

Turut hadir, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sumber asal Harian Metro

 

Related Articles

Back to top button