Semasa

Air pasang besar di empat negeri sehingga 5 Januari ini

KUALA LUMPUR : Berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku selama empat hari sehingga 5 Januari (Rabu) ini, penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung diingatkan agar lebih berwaspada.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor merupakan antara kawasan yang berisiko tinggi.

“Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button