Semasa

Agong titah semua pihak berganding bahu bawa kejayaan tanpa kira fahaman politik

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, usaha merencana pelan jangka panjang haruslah dilaksanakan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dengan objektif membawa negara kembali ke persada kejayaan.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah, seluruh rakyat berperanan dalam mendukung usaha-usaha murni kerajaan di samping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.

Titah baginda, satu rencana yang kukuh merangkumi pelbagai sektor dan aspek kehidupan diperlukan dalam pengurusan negara dalam era pascapandemik ini.

“Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional.

“Hakikatnya, ia bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah untuk mengemudi ne­gara keluar dari kesan pandemik Covid-19. Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.

“Justeru, bersempena dengan sambutan rasmi Ulang Tahun Keputeraan beta pada tahun ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam sebuah kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang,” titah baginda dalam Perutusan Khas Sempena Keputeraan Rasmi 2022.

Al-Sultan Abdullah turut berpesan agar segala usaha-usaha dan dasar kerajaan terus mendapat sokongan dari rakyat agar program yang digubal dapat dinikmati oleh semua.

Baginda juga berkenan mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosio ekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong akan terus mendoakan agar semua usaha-usaha ini diberi keberkatan oleh Allah subhanahu wata’ala dan dipermudahkan dalam mencapai hasrat yang diidamkan.

“Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur serta sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dan dijauhi daripada musibah dan bala bencana.

“Mengakhiri titah, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan beta, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara,” titah baginda.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button