Semasa

Agong titah semua pihak amalkan demokrasi bermusyawarah

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan smeua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

Justeru, Seri Paduka menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merelaisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Menyifatkan kematangan seumpama itu didambakan seluruh rakyat, Al-Sultan Abdullah bertitah perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” titah Seri Paduka.

-BERNAMA

 

 

 

Related Articles

Back to top button