Covid19Semasa

Pelajar dibenarkan hadir ke sekolah tanpa pakaian seragam

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan kelonggaran kepada pelajar sekolah untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada tidak lagi muat.

Radzi berkata murid hanya perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.

Ulas beliau, kelonggaran ini bertujuan untuk membolehkan semua murid hadir ke sekolah diiringi semangat untuk kembali ke sekolah.

Setakat ini, aktiviti sukan dan kokurikulum belum dibenarkan, namun untuk aktiviti Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK), murid disaran untuk memakai pakaian sukan di rumah.

“Sementara itu, bagi waktu rehat, murid akan dibenarkan makan di dalam kelas, namun bagi kelas yang ada penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pengawasan guru,” katanya.

Selain  itu, ibu bapa dan penjaga  diberi pilihan untuk tidak menghantar  anak  ke sekolah dan ketidakhadiran mereka tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Bagaimanapun, ibu bapa  dan  penjaga perlu menyediakan surat penjelasan sebagai rekod dan akan digunapakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini.

“Sementara itu, bagi murid yang didapati mempunyai gejala ketika di sekolah, mereka akan menjalani ujian air liur dan diasingkan terlebih dahulu bagi mengelak penularan.

“Bagi yang didapati bergejala, seeloknya jangan hadir ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, bagi sekolah berasrama penuh, pelajar perlu menjalani tiga kali ujian saringan Covid-19 bagi memastikan sekolah berasrama sebagai gelembung selamat.

Tambah beliau, sebelum pelajar kembali ke asrama, mereka perlu menjalani ujian saliva pertama COVID-19, kemudian pada hari keenam, ujian kedua dan seterusnya hari ke 14 untuk ujian saringan ketiga.

“Menerusi pendekatan ini, sekolah berasrama akan menjadi gelembung selamat kepada anak-anak untuk terus berada di sekolah.

“Dalam masa yang sama, pengudaraan juga perlu dipastikan berada pada tahap optimum,” katanya.

Dalam masa yang sama guru, kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan turut ditekankan supaya mendapat vaksinasi sepenuhnya sebelum memulakan perkhidmatan.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan arahan khususnya dalam konteks kebersihan dan keselamatan untuk memastikan semua kakitangan terbabit sudah divaksin.

“Seperti dinyatakan sebelum ini, mana-mana guru yang belum divaksin juga tidak dibenarkan mengajar di sekolah kerana kita ingin memastikan keseluruhan ekosistem yang selamat.

“Selain itu, KPM juga sudah mendapatkan senarai pengusaha pemandu bas sekolah yang sudah divaksin, namun mungkin ada keciciran dan berharap ibu bapa dapat membuat pilihan yang sewajarnya,” katanya.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button