Agong raikan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan & Antarabangsa 1445H/ 2023M
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan & Antarabangsa 1445H/ 2023M kepada dua penerima dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445/2023 di WTC pada Rabu.
Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Abdul Monir Yaacob diumum Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1445H/ 2023M manakala Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Ahmad dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 1445H/ 2023M.
Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abubakr Ahmad diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1445H/2023M.
📹 : Azeery Idris pic.twitter.com/7P5i54ubJ7
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) July 19, 2023
Penerima kedua-dua anugerah berkenaan telah diumumkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff dalam majlis yang sama.
Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya mengingatkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.
Titah Seri Paduka, rakyat juga hendaklah tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
“Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan“, titah Seri Paduka.
Turut berangkat ke majlis itu adalah KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku, Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sempena sambutan itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.
Lebih 6,000 hadir meraikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445/2023 di WTC dengan kemuncaknya merupakan penyampaian titah Diraja oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.