Semasa

Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR : KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah atas penganugerahan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021.

Penganugerahan tersebut adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.

Menurut satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas penganugerahan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Penganugerahan tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa,” menurut hantaran tersebut.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dr Noor Hisham dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kecemerlangan yang berterusan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menerima anugerah tersebut daripada Presiden RSCEd Prof Michael Griffin pada majlis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, felow terhormat RSCEd yang juga Canselor Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button