Agong menitahkan pihak berkuasa untuk lebih proaktif
Semua mangsa dan petugas diminta untuk terus bersabar
KUANTAN : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menitahkan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan proaktif untuk memastikan mangsa banjir yang terdampar di kawasan luar bandar mendapat bantuan yang diperlukan.
Seri Paduka bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membaca beberapa mesej meminta pertolongan yang dimuat naik di media sosial oleh mereka yang terdesak memerlukan bantuan.
“Ada pihak yang mengatakan mereka terperangkap di satu tempat dan tidak ada bantuan. Saya harap kita dapat segera bantu mereka dan pastikan mereka ini selamat.
Pihak berkuasa yang mempunyai aset seperti helikopter harus meninjau lokasi yang terjejas. Kami berharap pihak berkenaan akan lebih proaktif dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan luar bandar,” – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke pusat pemindahan sementara (PPS) Wisma Belia di sini, untuk menyantuni mangsa banjir dengan diiringi anakanda, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Sementara itu, Seri Paduka turut menzahirkan rasa simpati dan bimbang dengan keadaan banjir semasa di negara ini, terutamanya di Pahang.
“Kita sedang menghadapi ujian besar dan saya harap semua yang terbabit tetap bersabar. Mereka yang diberi tanggungjawab harus menjalankan tugas mereka dengan tekun terutama dalam membantu memindahkan mangsa daripada rumah mereka.
“Ini merupakan operasi yang besar kerana pada masa yang sama, kita juga sedang memerangi pandemik Covid-19. Saya ingin mengingatkan semua orang tentang pentingnya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah anggota keluarga, atau mereka yang bertugas daripada dijangkiti… jangan sesekali mengabaikan SOP,” katanya.