Agong jalani pemeriksaan di hospital akibat gering di bahagian kaki
Baginda menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berada di dalam keadaan gering di bahagian kaki.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan Baginda kini berada di sebuah hospital di Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan.
“Walau bagaimanapun, kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Fadil juga memberitahu mengenai penangguhan semua program yang melibatkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah yang dijadualkan hari ini serta program terdekat ke tarikh tertentu yang akan diumumkan kelak.
“Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara selesai menjalani rawatan dalam masa terdekat.
“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” ujarnya.