Agong berkenan merasmikan Karnival MAIWP 2023
KUALA LUMPUR: KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Sabtu berkenan berangkat ke Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka bagi menyempurnakan pelancaran karnival yang julung kali diadakan itu.
Seri Paduka kemudian mengurniakan anugerah Ikon Usahawan MAIWP kepada Robiatul Adawiah Ibrahim, pengusaha produk durian krep jenama Rabi, hasil bimbingan dan didikan daripada MAIWP.
Kemudian, Baginda mengurniakan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP kepada Dr Muhammad Ameerullah Sahudin yang merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kimia, Universiti Malaya.
Dr Muhammad Ameerullah, 29, adalah bekas pelajar Sekolah Menengah MAIWP yang menerima bantuan zakat fisabilillah MAIWP sepanjang persekolahan dan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Kedua-dua penerima anugerah itu membawa pulang sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berdua berkenan meluangkan masa meninjau dan melawat reruai gerai jualan usahawan MAIWP serta menyantuni pengunjung karnival.
Karnival yang berlangsung selama 2 hari bermula hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati MAIWP.
Ia menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan daripada institusi pendidikan dan kesihatan di bawah MAIWP itu serta pelbagai aktiviti lain.
Bertemakan ‘Memperkasa & Berdaya Usaha Menuju 50 Tahun Kecemerlangan MAIWP,’ sebanyak 100 gerai disediakan di karnival itu yang mempamerkan produk usahawan asnaf MAIWP. Turut membuka pameran adalah pelbagai rakan strategik agensi itu.