Semasa

Agensi pelancongan digesa pulang semula duit pakej umrah – Idris Ahmad

BUKIT GANTANG : Wang yang telah dibayar bakal jemaah umrah yang terkandas akibat pandemik Covid-19 perlu dipulangkan segera oleh agensi pelancongan yang mengedalikan pakej umrah susulan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar kepada pihak ketiga, bayaran pulangan tidak semestinya 100 peratus.

“Pembatalan itu bukan disebabkan salah mereka namun ketetapan SOP oleh Arab Saudi.

“Pembayaran semula kepada Jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah harus dibuat oleh agensi atau syarikat yang terlibat menerima wang mereka ini,” katanya.

Berikutan ramai bakal umrah berusia lebih 60 tahun di Malaysia yang telah mendaftar tahun lalu tidak berpeluang menunaikan ibadah umrah meskipun pembayaran telah dibuat, kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat umur 18 hingga 60 tahun.

Idris berkata, agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dinasihatkan memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam Islam.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran campur tangan dalam soal tuntutan bagi agensi atau syarikat pelancongan yang culas atau enggan membayar semula wang jemaah tersebut berikutan ia terletak di bawah bidang kuasa mereka

Mengulas lanjut, Idris turut menegaskan bahawa SOP umrah oleh kerajaan Malaysia akan diumum tidak lama lagi.

“Kami sudah mesyuarat semalam namun saya tidak dapat mengumumkannya kerana ia membabitkan dasar. Insya-Allah perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button