BanjirKerohanianPendidikanSemasa

Adakah sah solat dengan pakaian berlumpur?

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

Bencana alam bukanlah sesuatu yang boleh kita jangka bila akan berlaku. Dalam keadaan tidak terkawal itu sudah pasti kita perlu meredah air banjir.

Menjadi persoalan, dalam keadaan banjir tersebut adakah sah sekiranya solat dengan pakaian berlumpur dan dibasahi dengan air banjir?

Kadangkala situasi seperti banjir ini membuatkan segelintir orang keliru kerana bagi mereka, hendak menghadap Allah mestilah dalam keadaan yang bersih dan cantik.

Merujuk laman Portal Maktabah Al Bakri, ada menjelaskan  syarat sah solat ada enam perkara antaranya, dalam keadaan bersih badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu. Sekiranya seseorang itu hendak mendirikan solat mestilah pakaian yang ingindibawa solat mestilah bersih dari segala najis.

Allah SWT berfirman, yang bermaksud:

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surau Al-Muddatthir:4)

Merujuk pada hadis di atas, diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya apabila tiba waktu solat.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah SAW, Aku ini tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan aku dalam keadaan berhaid. Macam mana nak buat ? Sabda Rasulullah SAW: Jika engkau telah suci daripada haid, basuhlah pakaian tersebut dan solatlah gunakan pakaian itu.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila berlaku bencana seperti banjir, kita seharusnya mengetahui bahawa hukum asal tanah ialah suci. Ini kerana, Allah SWT menjadikan di setiap permukaan bumi sebagai tempat sujud mendirikan solat malah, tanahnya suci untuk bertayammum sekiranya ketiadaan air.

Begitu juga dengan air banjir, hukum asalnya adalah suci dan menyucikan kerana ia termasuk dalam air mutlak. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut, dan bertakung.

Selalunya, air banjir kebiasaannya adalah limpahan air daripada sungai, air laut, air hujan dan sebagainya yang termasuk dalam kategori air yang boleh digunakan untuk bersuci.

Perkara ini bertepatan dengan kaedah yang bermaksud;

“Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya,”

Oleh itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru itu, seseorang yang mendirikan solat dengan pakaiannya yang berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda yang terkena pada najis.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button