Calon SPM, STPM divaksin bulan depan
Suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech akan diadakan di sekolah
KUANTAN: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.
“Selepas tiga minggu, mereka akan menerima dos kedua,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Mengulas jabatan yang menguruskan senarai pengamal media yang akan menerima suntikan vaksin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, ia diuruskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
“Jabatan Penerangan sudah memberikan senarai nama dan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk penyenaraian kerana ada media yang sudah dapat dan mereka yang belum akan menerimanya dalam masa terdekat,” katanya.- BH