KitaJagaKita: ‘Rumah’ Sementara DBKL Lindungi Gelandangan Dari Jangkitan COVID-19
Kalau dulu sebelum krisis COVID-19 bermula, mencari makan dan tempat tidur pun sesuatu yang sukar buat para gelandangan. Kini terbuka satu pintu nikmat buat mereka apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka dua pusat penempatan sementara bagi melindungi gelandangan dari risiko terdedah kepada jangkitan corona virus.
Kira-kira 700 orang gelandangan kini ditempatkan di dua buat pusat terletak di Jalan Pahang dan Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Terdapat juga empat pusat komuniti dan dewan serbaguna di bawah DBKL yang kini menempatkan para gelandangan.
Menurut jurucakap DBKL pihaknya telah membawa masuk sekitar 510 orang gelandangan dua minggu lalu tetapi jumlahnya meningkat kepada 700 orang hanya dalam beberapa hari. Jumlah itu dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa ulasnya lagi.
Kami tidak dapat memastikan akan ada peningkatan gelandangan tetapi kami perhatikan terdapat semakin banyak orang yang datang ke pusat komuniti kami semasa PKP.
Oleh itu, kami telah membuka tiga lagi pusat komuniti, di Kepong, Bandar Tasik Selatan dan Jalan Masjid India minggu lalu, untuk menampung lebih ramai orang.
Satu pusat khusus untuk mereka yang mempunyai gejala selesema dan dipantau oleh pegawai Kementerian Kesihatan.
Menurutnya lagi sekumpulan pegawai khas telah ditugaskan untuk meronda kawasan-kawasan di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan tiada mana-mana gelandangan yang masih tinggal di kawasan terbuka.
Dalam pada itu terdapat di kalangan mereka yang datang ke pusat tersebut untuk mendapatkan makanan setelah kehabisan wang akibat kehilangan kerja disebabkan wabak berkenaan.
Menurut dua individu yang ditemubual, mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman setelah dibuang kerja kerana kehabisan wang simpanan.
“Saya mungkin harus pergi ke tempat perlindungan DBKL jika saya kehabisan wang dan jika tuan rumah mengusir saya. Tuan rumah berkali-kali memberi amaran untuk melakukannya, ”kata individu yang berasal dari Sabah berusia 40 tahun itu.
“Kami berharap kerajaan akan segera menghentikan PKP agar kami dapat kembali bekerja,” tambah rakannya.
Di pusat penempatan tersebut, semua penghuni diberi kemudahan seperti tilam, khemah kubik untuk privasi, selimut dan makanan sebanyak enam kali sehari.
Walau bagaimanapun, pihak yang mengawasi pusat terbabit memaklumkan bahawa penghuni di situ mengalami kegelisahan dan tekanan ketika mereka dibawa keluar dari zon selesa dan ditempatkan di tempat perlindungan. Justeru pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Kuala Lumpur membuat inisiatif dengan menyediakan terapi serta khidmat kaunseling bagi membantu para penghuni mengatasi rasa gelisah yang dialami.
Ketua jabatan Psikologi dan Kaunseling JKM, Nuridawati Mohd Noor memberitahu kaunselor di situ bertugas sebagai intervensi sokongan psikologi untuk para gelandangan.
“Ini dimulakan dengan pendidikan psiko, dalam memberi informasi mengenai kes Covid-19, dan kemudian mengenai pelaksanaan PKP di bandar ini, termasuk statistik serta inisiatif yang telah kami buat untuk mereka, ”katanya lagi.
Nuridawati berkata, walaupun terdapat banyak berita berkenaan Covid-19, para gelandangan tidak menyedari apa yang berlaku dan tidak tahu betapa seriusnya keadaan itu.
Sebahagian daripada program ini adalah untuk mendidik mereka dan kemudian kami berusaha untuk mengurangkan kegelisahan mereka. Untuk sesi psikoterapi, kami mengajar mereka teknik bernafas dan terapi seni untuk mengurangkan kegelisahan dan mengekspresikan emosi. Kami tidak tahu berapa lama mereka akan berada di sini, jadi penting kami mempersiapkan mereka untuk itu. – Nuridawati Mohd Noor, JKM
Usaha murni oleh pihak berkuasa tempatan sebegini membuktikan keprihatinan yang diberikan kepada gelandangan adalah satu manifestasi pentadbiran yang mengutamakan rakyat tanpa mengira status.
Rakyat seharusnya mengambil contoh dan memainkan peranan dalam mengurangkan beban kerajaan terutamanya dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam situasi yang sulit ketika ini.