RIYADH : Arab Saudi mengumumkan untuk melanjutkan larangan masuk ke negara itu melalui jalan udara, darat dan laut untuk seminggu lagi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency (SPA), Kementerian Dalam Negeri menyatakan keputusan itu merupakan tindakan pencegahan terhadap penularan COVID-19 jenis baru yang dikesan di sejumlah negara, lapor Arab News.
Kes-kes luar biasa akan dikecualikan dari larangan masuk, dan warga bukan Saudi dibenarkan meninggalkan negara itu, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah bahawa kementerian itu sedang menilai keadaan sedia ada dan penggantungan perjalanan mungkin dilanjutkan jika perlu.
Virus jenis baru itu muncul lebih awal bulan ini di Britain dan telah merebak ke beberapa negara di merata dunia, termasuk Timur Tengah.
Pada Ahad, Jordan mengesahkan dua kes virus korona jenis kebolehjangkitan tinggi itu pada seorang lelaki dan isterinya yang tiba dari Britain.
Lubnan mengumumkan pada Jumaat bahawa ia mengesan kes pertama COVID-19 jenis baru itu di negaranya dalam penerbangan yang tiba dari London, lapor Arab News.
Lebih 50 negara telah mengenakan sekatan perjalanan ke atas Britain akibat virus baru itu. – AGENSI