Covid19DuniaKesihatan

“Dia menangis, saya perlu tenangkan dia!”

Foto doktor peluk pesakit Covid-19 pada hari ke-252 bertugas, tular

WASHINGTON: Biarkan gambar berbicara!

Foto seorang doktor yang memeluk pesakit Covid-19 warga emas mendapat perhatian di seluruh dunia.

Jurugambar Getty Images, berjaya merakamnya dan mengundang rasa simpati.

Dr Joseph Varon, yang merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Texas, Amerika Syarikat mengakui memeluk pesakit lelaki warga emas pada Hari Kesyukuran, tujuannya hanya untuk menenangkan pesakit berkenaan.

Kejadian itu kata Dr. Varon yang juga Ketua Staf di Pusat Perubatan United Memorial di Houston, Texas berlaku pada hari ke-252 beliau bertugas tanpa henti sejak Covid-19 menggila.

Beliau dilihat sedang memeluk dan menenangkan pesakit warga emas itu yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, sebaik memasuki bilik ICU pesakit terbabit turun dari katilnya dan berusaha keluar dari bilik lalu menangis.

“Tiba-tiba warga emas berkenaan menangis. Saya menghampirinya dan bertanya mengapa dia menangis. Lelaki itu berkata dia ingin bersama isterinya. Saya hanya mampu memeluk dan menenangkannya. Saya kasihan dan sangat sedih. Akhirnya dia berhenti menangis dan tenang semula,” – Dr Joseph Varon

Dr. Varon menceritakan kisah itu kepada CNN pada hari ke 256 beliau bekerja.

Varon berkata, pengasingan unit rawatan COVID-19 mendatangkan kesukaran kepada kebanyakan pesakit, terutama warga emas.

“Anda boleh bayangkan, anda berada di dalam ruang di mana orang-orang datang dengan pakaian seperti di angkasa dan lebih kasihan lagi jika pesakit warga emas yang bersendirian. Sebahagian daripada mereka menangis dan ada yang cuba melarikan diri, malah semalam ada yang cuba melarikan diri melalui tingkap,” – Dr Joseph Varon

Katanya, pesakit lelaki di dalam gambar itu kini semakin baik dan berharap hujung minggu ini beliau dapat dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam pada itu, Varon turut memberi nasihat kepada mereka yang tidak mengambil langkah berjaga-jaga dan gagal mematuhi peraturan operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik itu.

“Mereka sepatutnya hanya perlu lakukan perkara asas bagi mengelak dijangkiti iaitu jaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan elak mengunjungi tempat sesak.

“Sekiranya semua orang melakukan itu, pekerja kesihatan seperti saya dapat berehat,” katanya. – AFP

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button