Semasa

Klinik Bergerak MAIWP-MAPIM: Sentuhan Kasih untuk Kariah Gombak

Gombak – Awal pagi ini, kariah Masjid Zaid Bin Haritsah menyambut kehadiran Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM dengan penuh harapan. Penduduk tempatan telah menanti dengan sabar untuk mendapatkan rawatan percuma yang ditawarkan.

Antara mereka yang hadir ialah Che Fadzilah binti Abu Bakar, yang ditemani suaminya. Puan Che Fadzilah bagi mendapatkan rawatan untuk beberapa masalah kesihatan termasuk kolesterol tinggi, sakit di tapak kaki dan plantar fasciitis. Beliau yang tinggal di Batu Lima, Jalan Gombak, meluahkan rasa terkejutnya apabila mengetahui bahawa rawatan dan ubat-ubatan yang diterima adalah percuma.

“Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Dr. Kamarudin (bin Isa), seorang doktor yang sangat teliti dalam membuat pemeriksaan,” katanya.


Turut hadir ialah Encik Aris bin Agus, 64 tahun, yang baru mengetahui bahawa beliau menghidap penyakit darah tinggi.

Disebabkan ketidakmampuannya untuk ke klinik kerana sudah tidak bekerja, beliau merasa sangat gembira menerima ubat dan konsultasi percuma daripada Dr. Hajar binti Abdul Aziz. Bacaan darah beliau sangat membimbangkan iaitu 210/110, telah mendapat perhatian sewajarnya.

Seorang lagi penduduk, Syeikh Alwaudeen, bersama isterinya Jannatulnisa, yang berusia 65 tahun, turut hadir untuk mendapatkan rawatan bagi sakit pinggang dan lutut akibat faktor usia. Mereka juga mengadu mengenai bengkak di kawasan bawah pinggang.

Pada hari terakhir lawatan klinik bergerak ini, Haji Mohd Aizul bin Adnan, Pengerusi Masjid Zaid Bin Haritsah, menyatakan rasa terharu dengan perkhidmatan cemerlang yang diberikan. Beliau turut menyampaikan penghargaan dan sokongan daripada kariah setempat, yang berharap agar Mobile Clinic MAIWP-MAPIM dapat diteruskan pada masa akan datang.

Sepanjang dua hari kunjungan pada Khamis dan Jumaat, lebih 100 orang penduduk telah menerima rawatan. Sambutan hangat daripada kariah Masjid Zaid Bin Haritsah menunjukkan betapa besar keperluan dan kepentingan perkhidmatan kesihatan percuma seperti ini. Semua yang hadir menyatakan rasa puas hati dan mengalu-alukan kehadiran Mobile Clinic MAIWP-MAPIM pada masa akan datang.

Program ini membuktikan bahawa usaha MAIWP dan MAPIM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma adalah langkah yang tepat dan sangat diperlukan oleh masyarakat, walaupun di kawasan bandar.

Related Articles

Back to top button