Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan percepat tindakan agensi terlibat
KUALA LUMPUR: Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dilaksanakan dengan tujuan mempercepatkan tindakan yang perlu diambil agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Beliau berkata, berdasarkan pelan berkenaan, antara tindakan yang perlu dilaksanakan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.”
“Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.
“Sebelas stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (101 hingga 200) hari ini iaitu Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur; Putrajaya; Petaling Jaya, Johan Setia, Shah Alam, Klang dan Banting, Selangor; Seremban, Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
SUMBER: BERNAMA