Penduduk Gaza turut raikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66
Tuan Nadir Al Nuri, pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia dan turut berperanan aktif di Pusat Kebudayaan Malaysia telah memaklum perkara ini melalui Facebook beliau,
“Penganjuran marathon ini adalah acara larian paling besar di Gaza.
Alhamdulillah semalam kita berjaya menganjurkan Marathon Merdeka 2.0 di sini sebagai sebahagian sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Marathon Merdeka adalah acara larian paling besar di sini dan kali ini penyertaan melonjak kepada 800 orang berbanding sekitar 500 orang pada tahun lepas. Buat pertama kali juga larian dianjurkan di Jalan Ar-Rasyid bersebelahan pantai Laut Mediterranean dan buat pertama kali penyertaan anak perempuan di bawah 13 tahun dibuka.
Seronok kan bila penduduk di sini meraikan ulangtahun Hari Kemerdekaan kita atas rasa kasih-sayang dan persaudaraan? Jangan lupa doakan pembebasan negara mereka juga!
Majlis penutupan telah berlangsung di Stadium Sukan Palestin dengan dihadiri Abdul Salam Haniyeh, Penolong Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Belia dan Sukan, Nadir Al-Nuri, pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia, Shadi Salem, Pengarah Pusat Kebudayaan Malaysia, dan Tamer Al-Absi, Naib Presiden Persekutuan Olahraga.
Abdul Salam Haniyeh mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66, dan memuji sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin.
Beliau turut berkata, “Sukan adalah mesej daripada rakyat yang berjuang menentang segala bentuk penjajahan. Hari ini, maraton ini memberi harapan kepada semua belia kita. Hari ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia, dan berharap akan meraikan majlis seperti ini di Baitulmaqdis.”
Walaupun perlumbaan ini dikatakan sebagai ‘marathon’ tetapi jarak lariannya cuma 10 kilometer. Ini kerana jarak dari Gaza Utara ke Selatan hanyalah sepanjang 40 kilometer.
Nadir Al Nuri turut diberikan kesempatan berucap dalam majlis penutup dan beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan mereka.
Untuk kategori profesional tempat pertama dimenangi oleh Mahmoud Abu Sbeitan dengan hadiah $1,000, tempat kedua, Amr Abu Saeed dan tempat ketiga, Khalil al-Tarabin.