50 warga TLDM sertai Malaysia #QuranHour 2023
LUMUT: Seramai 50 orang perserta menyertai Program Malaysia #QuranHour 2023 peringkat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang berlangsung di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut pada Khamis.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, pelaksanaan program berkenaan sekali gus bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang jatuh pada Khamis.
Katanya lagi, objektif ia dianjurkan adalah untuk menggalakkan interaksi ‘Navy People’ dengan Al-Quran menerusi pembacaan, penghayatan makna, dan penerapan ajaran dalam kehidupan harian dengan berpandukan Al-Quran serta sunah.
“Bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’, objektif utama pelaksanaan kali ini adalah untuk menggalakkan interaksi Navy People dengan Al-Quran“.
“Surah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr dijadikan sebagai surah pilihan untuk dihayati oleh 50 orang warga TLDM dalam melahirkan modal insan yang unggul,” katanya memetik laporan AWANI.
Katanya lagi, komitmen TLDM dalam menjayakan program #QuranHour 2023 ini turut dizahirkan dengan pelaksanaan awal di KD Teguh Samudera, melalui kolaborasi erat antara komuniti Rumah Ngaji Teluk Muroh dan warga TLDM pada 26 Ogos lalu.
Ketika itu, seramai 30 orang pemegang Panji Al-Insan dari Rumah Ngaji Teluk Muroh bersama-sama 20 warga TLDM terlibat bagi menjayakan program di kapal TLDM itu.
Jelasnya lagi, TLDM sentiasa menyokong usaha murni melalui program sebegini dalam menyediakan angkatan terbaik bukan sahaja dari segi fizikal malah dari aspek kerohanian.
BACA JUGA
MAPIM anjur program ‘healing’ melalui Majlis Ummah Berselawat