SemasaTravelog
Trending

Jamboree Peminat 4×4 Malaysia 2023 disertai 135 kelab

GUA MUSANG: Peminat kenderaan pacuan empat roda (4 x 4) dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan dan Kay Adventure 4×4 mengadakan program jambori buat julung kalinya. Program yang disertai oleh 135 kelab 4×4 seluruh Semenanjung Malaysia ini diadakan bagi pengguna dan peminat sukan lasak berkumpul dan mengadakan aktiviti perkhemahan perdana selama 3 hari 2 malam yang bermula dari 4 hingga 6 Ogos 2023.

Diadakan di Sungai Lebir, Gua Musang, Kelantan, program ini diadakan selepas kali terakhir penganjurannya pada 2018. Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program secara tahunan ini dihentikan seketika dan kini disambung kembali dengan penjenamaan baharu yang lebih besar dengan penglibatan daripada seluruh kelab 4×4 di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, program dikenali sebagai Jambori Sahabat 4×4 Malaysia dan kini diperkenalkan kembali dengan penyertaan lebih ramai peminat kenderaan lasak ini. Buat pertama kalinya, hampir seribu kenderaan pacuan empat roda menyertai jambori kali ini dengan hampir 3,000 peserta.

Di tapak perkhemahan seluas lebih 20 ekar, pelbagai aktiviti disediakan untuk setiap peserta menyertainya. Antara kelab peminat kenderaan pacuan empat roda yang menyertai perkhemahan kali ini ialah Triton Tuners Club, Team Scoring, Kelab Terjoh 4×4 Kuala Terengganu, GTU 4×4, Malaysia Mountaineer Four Wheels (MMFW), Malaysian 4 Wheels (M4W), Pahang Truckers, PKGM dan banyak lagi.

Acara pelepasan konvoi 4×4 diadakan pada hari Jumaat, 4 Ogos lalu dan dirasmikan oleh Adun Nenggiri, YB Ab Aziz Yusoff bersama Pengarah Program, Khairul Badri Abdul Basit di Hentian R&R Lama Gua Musang. Pelepasan konvoi ini melibatkan 100 buah kenderaan 4×4 sebagai simbolik permulaan aktiviti jambori diadakan.

“Tujuan utama program ini diadakan bagi merapatkan ukhwah antara peminat 4×4 dengan tema ’Satu Semangat, Satu Suara’. Di bawah satu bumbung, tiada perbezaan antara kelab, bangsa dan agama, oleh itu keakraban antara setiap peserta diutamakan agar program sebegini dapat berkembang dengan lebih besar. Selain itu, melalui keutuhan kerjasama setiap kelab 4×4 ini, harapan utama agar program sebegini diiktiraf untuk diangkat mewakili Malaysia bagi sebarang penyertaan jambori berkumpulan di luar negara yang turut mempunyai ribuan komuniti peminat kenderaan lasak ini”, kata Khairul Badri.

Selama seminggu, lebih 100 petugas berkampung di tapak perkhemahan bagi memastikan persiapan rapi dilakukan agar program dapat berjalan dengan lancar. Aktiviti utama yang dianjurkan dan dinanti oleh setiap peminat ialah Challenge GPX4 iaitu sukan cabaran lasak kenderaan pacuan empat roda yang memerlukan setiap peserta melalui enam laluan ‘Special Stage’ atau ‘SS’ yang mencabar.

Teknik pemanduan dan kecekapan setiap peserta melepasi setiap halangan yang berbeza-beza serta mencabar berdasarkan masa yang ditetapkan menjadi kriteria utama untuk memilih pemenang. Setiap kenderaan perlu menghantar dua peserta iaitu pemandu dan pembantu yang perlu bekerjasama bagi melepasi setiap halangan.

Dua kategori dipertandingkan iaitu ’Short Wheel Base’ (SWB) dan ‘Long Wheel Base’ (LWB). Seramai 46 pasukan mengambil bahagian bagi menguji kecekapan pengendalian kereta pacuan empat roda masing-masing. ‘Lite Core Challenge’ atau cabaran peringkat ringan yang menyaksikan lima pemenang bagi setiap kategori. Johan mendapat hadiah wang tunai bernilai RM2,000 beserta trofi dan hamper. Naib johan memperolehi hadiah wang tunai bernilai RM1,500 bersama trofi dan hamper. Manakala tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM800, trofi dan hamper.

Juara kategori SWB diungguli oleh Mohd Wan Fazly dari pasukan Rubber Tipper, Pahang. Naib juara ialah Nuar dari Pasukan Korat, Perak dan tempat ketiga Mohd Saifullah dari pasukan Lacar Group, Kelantan. Untuk kategori LWB, Johan ialah Andak dari pasukan TXV Selangor. Naib johan dimenangi oleh Nasli Ramli dari pasukan Tembo, Terengganu dan tempat ketiga ialah Saiful dari pasukan Melor, Kelantan. Manakala johan, naib johan dan tempat ketiga bagi setiap laluan SS turut mendapat pengiktirafan dengan memenangi hadiah wang tunai bagi setiap pasukan.

Selain itu, aktiviti lain yang turut dianjurkan seperti pertandingan autoshow iaitu kategori kenderaan 4×4 tercantik, pertandingan khemah paling kreatif, pertandingan penyertaan kelab teramai dan acara sukaneka untuk penyertaan keluarga terutama bagi kanak-kanak.

Disamping itu, ada juga beberapa gerai jualan yang turut memeriahkan program. Pengisian rohani turut menjadi keutamaan. Ceramah perdana diadakan pada sebelah petangnya oleh Maulana Usamah Muhammad, seorang Mudir Pondok Miftahul Hidayah.

Penutup malam terakhir dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh tiga artis yang dibawa khas bagi menghiburkan orang ramai iaitu Aju Success, Boy Mercury dan kumpulan PRO2G. Kehangatan malam terakhir dinanti-nantikan terutama 36 cabutan bertuah yang disertai oleh setiap peserta yang menyertai jambori ini dengan hadiah utama, tayar jenis Mud Terrain Attack bagi kenderaan lasak pacuan empat roda yang bernilai lebih RM3,000.

Disamping itu, penyampaian hadiah turut diberikan kepada pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Hadiah disampaikan oleh wakil penaja utama.

Mitsubishi Motors bertindak sebagai penaja utama. Program ini turut mendapat tajaan daripada beberapa syarikat seperti Red Springs (pembekal aksesori 4×4), Kajan Holding Sdn Bhd (penaja pemilik lokasi dan juga syarikat pembinaan), SGR Studio (penaja pentas dan sistem audio), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia MAPIM (penaja kebajikan dan dakwah), Stage Master (M) Sdn Bhd (penaja pengurusan acara dan sistem LED), Ummah Prima Network Sdn Bhd (media rasmi), Sham Aris 4×4 (penaja kenderaan dan kakitangan), IMAM Musleh Malaysia (penaja program agama dan dakwah) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai keselamatan untuk sebarang kecemasan.

Kesinambungan daripada penganjuran kali ini, perancangan akan datang adalah bagi menyatukan lagi penglibatan daripada pelbagai peminat aktiviti riadah luar dan sukan lasak seperti motorcross, campervan serta perkhemahan beramai-ramai daripada setiap pelosok negeri untuk masa hadapan.

 

BACA JUGA
Achey Bocey ikut MAPIM Rangers misi bantuan banjir di Johor

Related Articles

Back to top button