MEKAH: Amaran hujan lebat dan ribut petir di kebanyakan wilayah di Arab Saudi termasuk Kota Makkah tidak menjejaskan aktiviti ibadah yang diatur untuk jemaah haji negara.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata keadaan cuaca berkenaan berlaku hanya seketika dan tidak dikategorikan sebagai bencana.
“Kita telah mengadakan perancangan dan jadual untuk segala aktiviti mengikut ketibaan penerbangan (jemaah haji), dalam masa sama kita mengambil maklum tentang suasana (cuaca) dari semasa ke semasa”.
“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku bencana, bagaimanapun setakat ini apa yang berlaku tidaklah ditakrifkan sebagai bencana, ia hanya gangguan biasa yang mudah diubah suai waktu dan ketikanya untuk kita menganjurkan aktiviti tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Heavy rain in Masjid Al Haram, Makkah last night! 🌧️ pic.twitter.com/swxLbYAuLE
— The Holy Mosques (@theholymosques) May 29, 2023
Media sebelum ini melaporkan, Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai Jumaat hingga esok.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata amaran hujan lebat dan ribut petir itu telah dikongsi dalam kumpulan WhatsApp serta dimuat naik di aplikasi THhujjaj yang membekalkan maklumat penting dan panduan ibadat haji kepada para jemaah.
Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya berhati-hati dan kekal berada di tempat penginapan atau masjid sekiranya berlaku hujan lebat, ribut petir atau angin kencang berdebu.
Terdahulu, hujan lebat kira-kira 10 minit membasahi bumi Makkah pada 5 pagi tadi waktu tempatan dan menyejukkan sedikit suhu di Tanah Suci yang ketika ini mengalami cuaca panas mencecah hingga 40 darjah Celsius.
Seorang penduduk, Ahmad Amin, 47, melahirkan rasa syukur dan seronok kerana kali terakhir hujan pada ingatannya ialah awal bulan ini, namun hanya hujan renyai.
“Alhamdulillah, ini rahmat untuk dhuyufurrahman (tetamu Allah),” katanya yang lahir di sini tetapi keluarga berasal dari Sumatera, Indonesia.