PalestinSemasa

Wanita Palestin lumpuh akibat serangan israel di Gaza

GAZA: Sejak 11 Mei selepas israel membom tanah kosong sekitar rumah Najwa Abu Aisha, 48, dia kini menjadi lumpuh dan hanya terbaring di katil hospital akibat terhempas dari bumbung tingkat dua rumahnya.

Menurut Al Jazeera, wanita itu naik ke atas bumbung rumah bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun untuk memeriksa tangki air.

“Tiba-tiba, semasa saya bersandar di dinding, bom israel jatuh berhampiran rumah kami. Apa yang saya ingat ialah dinding runtuh dan bumbung juga jatuh bersama. Apabila saya tersedar, saya berada di sini di hospital,” katanya.

Anak lelakinya, yang menyaksikan pengeboman dan kejatuhannya, masih mengalami trauma dan tidak boleh duduk atau bercakap dengan sesiapa.

Najwa tercampak dari bumbung dan terlentang di halaman rumah jiran sebelah. 

Menurut doktor di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, selain kecederaan pada saraf tunjangnya, dia juga mengalami keretakan teruk pada pelvis dan tulang rusuknya.

Kira-kira 33 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh dan 147 cedera di kawasan yang dikepung dalam peningkatan terbaru antara israel dan pertubuhan Jihad Islam Palestin. 

Pertempuran berakhir hanya selepas gencatan senjata sesudah empat hari pertempuran. 

Ketika keluarga bercakap tentang keadaan Najwa, mereka berbisik agar dia tidak didengarinya  kerana mereka tidak mahu menyebabkan dia berasa gelisah.

Kakak Najwa Um Issa menjaganya setiap hari.

Walaupun anak-anak Najwa cuba berlagak biasa di hadapannya, tetapi dia memberitahu Al Jazeera dengan sebak bahawa dia sangat menyedari keadaannya yang tidak dapat merasakan atau menggerakkan bahagian bawah badan.

“Saya tidak mengeluh tentang apa yang berlaku kepada saya, tetapi saya dalam kesakitan yang teramat,” katanya sambil menjelaskan sebagai seorang wanita Islam, dia redha dengan nasibnya.

Tetapi, dia berkata, “Tiada siapa yang merasakan tahap kesakitan psikologi dan fizikal dalam diri saya.”

“Peluru berpandu israel sudah cukup untuk mengubah hidup saya daripada seorang wanita yang aktif, tegak kepada seorang wanita yang kurang upaya, tidak berdaya,” tambahnya sambil menangis.

Najwa mempunyai lima orang anak. Yang bongsu berumur tujuh tahun. Dia merupakan pencari nafkah tunggal keluarga kerana suaminya seorang kurang upaya dan bergantung pada tongkat untuk bergerak.

Sebelum kecederaannya, dia bertugas sebagai pekerja pembersihan di sebuah tadika selama hampir tiga tahun.

Suaminya, Mazen Abu Aisha, 50, sering datang ke hospital untuk berjumpa dengannya, bersandar pada tongkatnya dengan air mata mengalir di pipi.

Suami Najwa, Mazen, 50, datang melawatnya

“Saya rasa seperti berada dalam mimpi ngeri. Hati saya sangat sakit atas apa yang terjadi kepada dia. Dia terlalu bersabar dengan saya, menanggung beban keluarga dan anak-anak saya, dan tidak pernah mengeluh. Saya berasa sangat tidak berdaya,” katanya.

“Apakah dosa yang kita lakukan di Gaza sehingga semua ini berlaku kepada kita?”

Related Articles

Back to top button