KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dianugerahkan ‘Medal of Spiritual Unity‘ dalam lawatan kerjanya ke Rusia.
Menerusi kemaskini dalam akaun facebook-nya, anugerah itu disampaikan Mufti Besar Persekutuan Rusia yang juga Pengerusi Muslim Spiritual Board Ravil Gaynutdin di Grand Cathedral Mosque, Moscow, pada Selasa.
Menurut hantaran itu, siri lawatan rasmi Mohamad ke negara itu merupakan usaha meningkatkan perpaduan ummah sekali gus memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Rusia dalam pelbagai bidang terutamanya bidang pertanian, keterjaminan makanan dan potensi kerjasama industri halal.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan memaklumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu akan berkongsi mengenai wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia ketika mengambil bahagian pada ‘Forum Ekonomi Antarabangsa ke-14 Rusia-Dunia Islam: Forum Kazan 2023‘ sempena lawatan kerjanya ke Rusia bermula 15 hingga 23 Mei.
Forum itu merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan kerajaan Rusia melalui kerajaan Republik Tatarstan sejak 2009 sebagai platform memperkukuh kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam.