KAZAN: Sebanyak 72 buah negara termasuk Malaysia bakal mengambil bahagian dalam Forum Ekonomi Antarabangsa ke-14 Rusia – Dunia Islam: Forum Kazan 2023 yang akan berlangsung dari 18 Mei ini sehingga 20 Mei 2023.
Pihak penganjur menerusi kenyataan yang dikongsi bersama wartawan RTM menyebut, forum antarabangsa itu akan menjadi platform utama bagi meningkatkan sinergi antara Rusia dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pengukuhan itu meliputi aspek perdagangan dan ekonomi, sains dan teknikal, pendidikan, sosial dan budaya serta kerjasama antara wilayah persekutuan Rusia dengan negara-negara OIC; merangkumi 59 buah negara.
Sepanjang tiga hari forum berlangsung, lebih 200 acara dan 140 sesi perniagaan bakal dianjurkan merangkumni sesi dialog, mesyuarat perniagaan dan persidangan termasuk Persidangan Rusia-Malaysia.
Forum yang dijadualkan berlangsung di Kazan, ibu kota Republik Tatarstan itu akan turut menganjurkan Ekspo Halal Rusia, pertunjukan fesyen busana sopan serta acara sambutan sempena ulang tahun kedatangan Islam di Volga Bulgaria. Peristiwa bersejarah itu menjadi sejarah penting bertapaknya Islam di Rusia.
Tahun lalu, dilaporkan 6,388 peserta terdiri daripada wakil pertubuhan antarabangsa, pihak berkuasa awam, institusi kewangan, pelabur dan pengurusan tertinggi syarikat Rusia serta wakil asing hadir ke forum tersebut.
Tahun ini, Perwakilan Perdagangan Persekutuan Rusia di Malaysia melalui Kementerian Pembangunan Ekonomi Persekutuan Russian turut mengundang beberapa penceramah jemputan dari Malaysia bagi membincangkan topik kerjasama dengan Rusia dalam membantu menghadapi cabaran baharu kepada ekonomi rantau Asia Pasifik.
Ini termasuk perbincangan tentang bagaimana hubungan antara negara dalam bidang sains dan pendidikan dapat berkembang serta langkah yang diambil oleh Malaysia untuk meningkatkan aliran pelancong dari Rusia.
Penceramah jemputan dari Malaysia bagi membincangkan semua topik berkaitan adalah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof serta Pesuruhjaya Kehormat (PA) (Dr) Sani Araby Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia.