PendidikanSemasa

Profesor wanita Melayu pertama, Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Profesor wanita Melayu pertama, Puan Sri Profesor Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia pada usia 89 tahun awal pagi Rabu.

Anak Allahyarhamah, Dr Fawziah Tan Sri Ishak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 2:35 pagi ketika dalam fasa pemulihan selepas mengalami strok sejak setahun lepas, di Hospital KPJ Tawakal.

“Kami terkejut kerana masa raya pertama ibu saya beritahu beliau dapat jalan enam langkah dan sangat positif untuk pulih daripada strok. Beliau merupakan role model saya,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau berkata, jenazah Allahyarhamah disolat jenazahkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya selepas solat zohor.

Allahyarhamah meninggalkan 2 anak perempuan dan 2 cucu perempuan.

Pada masa sama, cucunya, Dr Dima Marlina Mohd Rafi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pemergian Allahyarhamah bukan sahaja sebagai seorang ibu dan nenek, tetapi juga sebagai tokoh pendidikan negara dan pemerkasaan wanita.

Antara pencapaian Allahyarhamah adalah menjadi wanita Melayu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti California, Amerika Syarikat dan dianugerahkan Pingat Fatimah sempena Hari Wanita pada 1988.

Allahyarhamah juga telah berkhidmat dalam bidang pendidikan sejak 1956 dan menjawat pelbagai jawatan tinggi termasuk sebagai pegawai pelajaran, guru serta pensyarah maktab.

Fatimah bersara sebagai profesor pada tahun 1990 setelah berkhidmat 26 tahun di Universiti Malaya (UM).

Fatimah memulakan kerjaya sebagai pembantu pensyarah pada 1964 di Fakulti Pendidikan, UM dan seterusnya dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi profesor.

Allahyarhamah juga terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan ‘Convention on the Right of the Child‘ (CRC) dan ‘Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women‘ (CEDAW).


 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button