PalestinSemasa

Menjelang 1 Syawal, suasana di Masjid Al Aqsa

BAITULMAQDIS: Suasana kelihatan tenang di sekitar Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam berkumpul pada 29 Ramadan 1444H untuk melihat anak bulan seperti yang dirakamkan melalui lensa AlQastal News.

Arab Saudi mengesahkan terlihatnya hilal bulan Syawal dan Jumaat adalah hari pertama Aidilfitri di sana.

Manakala menurut perkongsian terbaharu Nadir Al-Nuri, rakyat Malaysia yang kini menetap di Gaza, 1 Syawal juga jatuh pada hari Jumaat di Palestin.

“Masjid-masjid di Palestin dah bertakbir..” katanya melalui perkongsian di Telegram.

Umat Islam sedang berkumpul secara aman ketika ini di halaman Al-Aqsa bagi bersama-sama menikmati iftar terakhir dan seterusnya memulakan bertakbir meraikan kemenangan mereka mengharungi Ramadan yang penuh mencabar.

Sebelum ini, media melaporkan polis rejim israel telah dengan sengaja melakukan provokasi terhadap umat Islam di Al-Aqsa dengan tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan ketika muslim sedang beribadah di bulan Ramadan tahun ini.

Malah, tindakan sedemikian bukanlah yang pertama kali dilakukan malah seolah menjadi tindakan kejam dan zalim mereka setiap tahun.

Jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh berkata israel cuba mencabar keazaman rakyat, tetapi itu tidak akan mematahkan semangat mereka. Rakyat Palestin akan tetap teguh, mempertahankan tanah dan kesucian Al Aqsa, walau apa pun yang terjadi.

“Serangan terhadap tempat suci dan jemaahnya saban hari semasa bulan Ramadan adalah tidak boleh diterima yang akan memarakkan lagi api pergolakan,” kata Abu Rudeineh.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button