Hidupkan malam raya dengan ibadah
Malam hari raya tentunya antara malam yang paling menyeronokkan bagi setiap umat Islam kerana telah berjaya melalui ibadah puasa Ramadan selama sebulan.
Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah hadis:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ
Maksudnya: Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.
Riwayat al-Tirmizi (696)
Bagaimanapun, malam itu tidak sepatutnya dipenuhkan dengan perkara yang melalaikan dan sia-sia. Umat Islam diingatkan agar menghidupkan malam raya dengan amal ibadah.
Menurut hadis riwayat Abu Umamah Al-Bahili :
مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya :” Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”
Riwayat Ibnu Majah (1782)
Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan pada malam hari raya seperti solat berjemaah di masjid atau surau khususnya solat isyak dan subuh. Imarahkan serta meriahkan rumah Allah dengan ibadah. Hiasilah malam hari raya dengan bertakbir, melakukan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih dan berdoa.
Marilah bersama-sama menghidupkan malam hari raya dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mengingatkan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di samping membuat persiapan untuk menyambut syawal, jangan terlalu seronok sehingga terlupa akan kewajipan sebagai seorang Muslim.