RamadanSemasa

Nasi Tong Kayu sedia pelbagai lauk bersahur untuk pelanggan

IPOH: Mahu pelanggan menikmati juadah segar dan panas ketika bersahur, pemilik gerai Nasi Kukus Tong Kayu Sambal Hijau, Suhaimi Ahmad Mahmud, 30, sanggup bersengkang mata menjual nasi kukus berlauk di Taman Klebang Putra, Ipoh.

Beroperasi dari 11 malam hingga 5.30 pagi pada Ramadan, Suhaimi berkata percubaan pertama berniaga pada waktu tersebut juga adalah bagi mencari kelainan demi kelangsungan perniagaannya.

Malam tidak banyak orang beri persaingan, berbeza dengan bazar Ramadan pada waktu siang cuma bezanya siang orang beli nasi dan lauk tetapi malam lebih tertumpu kepada lauk-pauk sahaja.

“Harga sama seperti siang tetapi pada malam lauk berbeza dan lebih banyak pilihan disediakan. Malam (berniaga) lebih laris pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi untuk mereka yang mahukan masakan panas untuk bersahur, lagi pun tak banyak gerai makan buka pada waktu sebegini,” katanya kepada BERNAMA di sini awal pagi tadi.

Suhaimi berkata dia mendapat ilham untuk berniaga pada waktu malam ketika Ramadan setelah melihat gerai lain yang beroperasi sebegitu tahun lepas di bandar raya ini.

Menurut Suhaimi ada pelanggan tetap yang memberi cadangan supaya dia meletakkan meja dan kerusi supaya mereka dapat bersahur terus di gerainya, namun Suhaimi berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dan setakat ini makanan dijual hanya secara bungkus sahaja.

“Alhamdulillah saya boleh beroperasi seorang diri sahaja setakat ini dan dalam masa terdekat mungkin mahu guna khidmat penghantar makanan untuk pelanggan yang mahu bayar dengan cara bayaran semasa serahan (COD) sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan.”

“Buat masa ini nasi pun habis setiap hari, ada juga buat lebih (disimpan di dalam periuk nasi). Yang penting perniagaan ini boleh sara mak sebab mak dah berusia jadi saya yang sara mak,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Suhaimi yang menyediakan kira-kira 15 jenis lauk seperti ayam goreng berempah, sambal ikan masin dan daging masak merah berkata berniaga pada waktu malam kurang persaingan berbanding pada waktu siang kerana terlalu banyak pilihan termasuk di bazar.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button