Dapur menjadi bilik tidur mereka!
Keluarga 7 beranak bertahun dambakan rumah baharu
KUALA LUMPUR : Setiap kali hujan, bangsal yang menjadi tempat berlindung tujuh beranak akan dinaiki air.
Bila tiba waktu itu, mereka melarikan diri ke rumah induk di bahagian hadapan yang keadaannya terlalu usang.
Keadaan sebahagian rumah yang hilang bumbung juga tidak layak untuk diduduki, justeru hanya bahagian dapur menjadi tempat berteduh.
Ruang dapur yang sempit inilah menjadi tempat tidur, tempat memasak dan ruang mereka menjamah hidangan.
Keluarga Abdul Latip Othman dan Asniza Ariffin ini tinggal di antara kawasan pemodenan ibu kota Kuala Lumpur, di Kampung Baru.
Mereka adalah antara penerima Misi Ummah Bantu Ummah, oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia.
MAPIM Malaysia diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Mejar Zul Hanis Zainol, bersama pasukan gerak kerja dan sukarelawan mengunjungi golongan yang terkesan dengan impak penularan wabak Covid-19.
Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini, kata Mejar Zul Hanis, mereka adalah termasuk dalam golongan yang amat memerlukan bantuan kerana MAPIM difahamkan ketua keluarga ini sudah tidak bekerja hampir lebih 7 bulan.
Ketika melangkah masuk ke teratak tujuh beranak ini, pandangan sukarelawan bagaikan tersentak dengan keadaan sekelilingnya, hati juga pilu mendengarkan kisah mereka.
Lantas Asniza ditanya apakah impian dirinya.
Bagi Asniza, dapat memiliki sebuah rumah Program Perumahan Rakyat, PPR, sudah cukup untuk dia tujuh beranak.
Sudah beberapa kali dia memohon untuk penempatan di PPR, malah permohonan dalam talian juga sudah dilakukan tapi masih tidak berjaya.
“Kadang-kadang anak cakap nak dapat rumah baru bila ibu, orang lain ada rumah, kita tak ada, malu dengan kawan-kawan, air mata dah tiada makna, berdoa sahaja pada Tuhan selagi ibu ayah ada, kami akan usaha untuk anak-anak”
Asniza kasihan melihat anak-anak yang semakin membesar hidup dalam keadaan rumah yang tidak selesa.
Kesihatan dan keselamatan anak-anaknya juga lebih utama berbanding dirinya.
Katanya pernah terjadi haiwan liar seperti ular cuba memasuki rumah, namun berjaya dihalang.
Memiliki lima orang anak berusia di antara 14 dan empat tahun, hidupnya kini makin terjerat rasa, dan mengikat perut.
Ini kerana, suaminya, Abdul Latip Othman, sudah tidak bekerja sejak awal tahun ini.
Sebelum ini Latip berkhidmat sebagai anggota RELA, namun kontraknya sudah ditamatkan.
Penutupan sebahagian ekonomi kerana Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu menyumbang kepada pengangguran dirinya.
Untuk meneruskan hidup, Latip mengambil upah membuat sebarang kerja harian daripada tawaran rakan-rakan.
Namun semua itu tidak mencukupi untuk menanggung mereka sekeluarga.
Dia pernah berhasrat membaiki rumah pusaka tinggalan keluarganya, bagaimanapun keadaan kewangan keluarga ini tidak mengizinkan.
Keadaan kini semakin mendesak selepas anak keempat berusia lapan tahun, didiagnosis mempunyai masalah jantung sejak bulan Ogos lalu.
Anaknya perlu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur setiap bulan.
Manakala anak yang pertama, pula baru-baru ini mengalami kemalangan jalan raya.
MAPIM sedang berusaha untuk membantu keluarga ini dan merangka bantuan yang sesuai baik untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Maklumat penuh keluarga ini sedang diambil dan diberikan kepada pihak yang berkaitan terutama bagi mendapatkan rumah PPR seperti yang dihasratkan.
* __________________________________________________________________________________
Jika kita merasakan kehidupan yang sukar, ada lagi ummah di luar sana lebih mendambakan keperluan asas buat mereka.
2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:
WWW.BANTUUMMAH.COM
ATAU
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066