InspirasiSemasa

Dr Noor Inayah wanita pertama dilantik nazir masjid di Selangor

KLANG: Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) Profesor Datuk Dr Noor Inayah Yaakub menjadi wanita pertama di Selangor yang dilantik sebagai nazir masjid.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Dr Noor Inayah, 53, yang berkhidmat sebagai nazir di Masjid Ikram IUKL di Bandar Baru Bangi, pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam masjid di seluruh Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, ahli akademik itu meluahkan rasa syukur atas pelantikan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai tanggungjawab yang besar.

“Kita melihat pengurusan masjid itu tidak memberikan apa-apa sekatan sekiranya wanita menjadi peneraju dan mungkin perkara ini sangat jarang berlaku, tetapi saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan-rakan yang lebih arif, imam-imam dilantik (pada hari ini) dan nazir lain,” katanya yang juga ahli jawatankuasa Baitulmal Selangor.

Noor Inayah berkata beliau akan memberi fokus kepada hubungan dengan masyarakat setempat kerana ahli kariah masjid institusi itu bukan terdiri daripada mahasiswa sahaja.

Terdahulu, seramai 1,256 imam dan nazir masjid di seluruh Selangor menerima watikan pelantikan hari ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button