SemasaSyariah

Filem yang mengelirukan dan sentuh sensitiviti agama perlu disekat

SHAH ALAM : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa agar filem yang mengelirukan dan menyentuh sensitiviti agama perlu disekat daripada disiarkan di mana-mana platform.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, sebarang polimik yang menyentuh soal agama tidak boleh dipandang ringan. Walaupun atas nama seni dan budaya serta bahan ilmiah , ia tetap perlu diberi perhatian serius. Kesucian agama Islam di negara ini tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya atas nama kebebasan berpendapat.

Terbaharu, filem ‘Mentega Terbang’ (Butterfly) telah mencetuskan kontroversi dengan menyerlahkan pemikiran yang keliru dan mempersoalkan pegangan Aqidah masyarakat Islam yang sangat sensitif dengan isu agama.

‘Mentega Terbang’ menceritakan tentang seorang perempuan bernama Aisyah yang mencari jawapan apa yang akan terjadi kepada seseorang setelah dia meninggal dunia.

“Melalui filem tersebut , pemikiran yang mahu diketengahkan ialah untuk meleburkan pegangan terhadap Islam yang berkaitan dengan Aqidah. Filem itu dengan sengaja memasukkan jalan cerita yang membawa faham pluralisme beragama iaitu semua agama adalah sama,” tambah Cikgu Azmi.

Beberapa babak di dalam filem itu menimbulkan persoalan serius termasuk dialog seorang ayah yang membenarkan anaknya untuk menukar agama lain.

“Apatahlagi jika ia mendedahkan bahan sebegini rupa kepada anak muda. Anak muda amat mudah terpengaruh jika filem seperti itu boleh mempengaruhi generasi muda.

“Kami mengesa agar pihak berkuasa memanggil penerbit dan pengarah filem tersebut supaya dapat menjelaskan implikasi filem itu kepada masyarakat Islam,” tegas Cikgu Azmi.

Malaysia adalah negara yang bertunjangkan Islam. Sebarang gugatan terhadap Islam akan diperhatikan dengan dekat oleh masyarakat Islam.

 

Related Articles

Back to top button