Covid19Semasa

Pengurangan yuran Universiti Awam sehingga 35 peratus – KPT

ini akan membantu pelajar

KUALA LUMPUR : Universiti Awam akan mengurangkan beberapa jenis yuran bagi membantu pelajar yang terjejas daripada segi kewangan bermula Semester Kedua sesi Akademik 2019/2020 sehingga ke hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata, Universiti Awam telah melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya, pengurangan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej di antara purata 10 peratus sehingga 35 peratus.

“Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 unuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.

“Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh Universiti Awam.

“Manakala bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula, pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan.

“Inisiatif ini telah melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi manfaat 386,142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah-langkah yang telah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa.

Dalam pada itu, kementerian juga berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran tersebut munasabah memandangkan 20 UA ini terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

Ia susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh Kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button