PUTRAJAYA: Seramai 75 orang anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan di dalam operasi mencari & menyelamat (SAR).
6 Februari 2023 – Kenyataan Media YBhg. Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) mengenai Misi Bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turki#JabatanPerdanaMenteri#MalaysiaMADANI pic.twitter.com/s1COzMz6XY
— Jabatan Perdana Menteri (@jpmgov_) February 6, 2023
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak & Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali, proses penghantaran pasukan SMART dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turkiye.
“Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” tambah beliau melalui satu kenyataan media pada Isnin.
Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada Isnin dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4:17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Setakat ini Kementerian Luar (Wisma Putra) melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan.