“Minta maaf, besarkanlah Mohammad Arif, kami tak mampu”
Bayi ditinggalkan dalam kotak dekat surau bersama nota
TANJUNG KARANG : Nota yang ditinggalkan di sisi seorang bayi berbunyi begini!
“Kami mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Mohammad Arif atas sebab ekonomi. Kami mohon sesiapa yang dapat dan sanggup membesarkan dia. Kami sangat-sangat berterima kasih.”
Demikian sebak wartawan UMMAHTODAY membaca nota yang dipaparkan di media-media sosial berhubung pertemuan seorang bayi di dalam kotak.
Nota itu ditinggalkan bersama seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan yang diletakkan di dalam sebuah kotak di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Kajang pagi Sabtu (24/10)
Bayi itu ditemui oleh Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Mohd Maidin Abdul Rahim ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Pada awalnya beliau menyangka ada orang telah membuang anak kucing tetapi kotak itu ditutup dengan kain biru, lalu beliau membuat keputusan untuk memeriksa kotak berkenaan.
Alangkah terkejutnya beliau selepas mendapati pertemuannya itu.
“Kebetulan kotak itu ditutup dengan kain biru, jadi saya ambil keputusan untuk tengok dan selak kain itu. Terkejut saya apabila melihat bayi di dalamnya.”
Lampin pakai buang, bedak dan tisu basah turut disertakan dalam kotak itu.
Beliau mendakwa bayi itu mungkin ditinggalkan semasa waktu Subuh kerana surau berkenaan mengehadkan jemaah untuk bersolat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. PKPB.
Beliau sudah memaklumkan penemuan itu kepada jemaah surau namun mereka tidak perasan kotak tersebut ketika beredar dari surau.
Tambahnya pula kejadian itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa mengesahkan mengenai penemuan bayi itu.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan bayi telah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
– Wartawan Siti Zulaikha Yusri