Semasa

Tiada keperluan darurat!

Kerajaan sekarang berjaya tangani wabak dengan berkesan

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.
“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia” – Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamuddin

Beliau berkata, Seri Paduka berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Permohonan berkenaan, katanya, ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.”

“Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Ahmad Fadil memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Petang Jumaat lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet pada sebelah paginya.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan kepada baginda oleh Perdana Menteri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada baginda.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini. – BERNAMA/BH

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button