KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini, kerajaan negeri Sabah akan mewujudkan sebuah pusat perlindungan sementara bagi kanak-kanak jalanan dengan projek perintis bakal dimulakan hujung tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami di Kota Kinabalu, akan diubah suai dengan kos RM250,000 supaya bersesuaian dengan konsep pusat perlindungan sementara itu.
Beliau berkata pusat itu akan diselia oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kanak-kanak jalanan akan dihantar ke pusat perlindungan sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksimum sehingga tiga bulan, katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) pada persidangan itu di sini hari ini.
Abidin berkata pusat itu menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi, sebelum kanak-kanak berkenaan dibenarkan pulang kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing selepas tempoh tiga bulan.
Seharusnya kanak-kanak ini dilarang berkeliaran meminta sedekah dan perlu diberi kemudahan untuk bersekolah. Amat merisaukan hampir 60% daerah di Sabah ada aktiviti kanak-kanak terlibat sebagai pengemis jalanan terutamanya di Pantai Timur Sabah 😥 pic.twitter.com/joYpzsYEcr
— Baby Anne Alsali (@AnneAlsali) December 21, 2019
Menurut Abidin lagi, kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran serta mengemis di jalan raya, khususnya di Kota Kinabalu serta bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu telah menimbulkan kegusaran awam selain turut memberi imej negatif kepada negeri itu.
Menurutnya, kebanyakan kumpulan pengemis itu adalah daripada suku Palauh iaitu kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau di pantai timur negeri Sabah.
Menjawab soalan tambahan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Abidin berkata pusat perlindungan itu hanya menyasarkan kanak-kanak jalanan memandangkan tiada satu jabatan mahupun agensi berkuasa menyelesaikan masalah kanak-kanak berkeliaran, termasuk menangkap dan memenjarakan.
Contohnya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hanya boleh menghalau pengemis, termasuk kanak-kanak jalanan, dan mereka akan lari. Tetapi kerajaan berharap kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat, dalam membanteras kewujudan kegiatan mereka ini, katanya.