DuniaSemasa

NGO antarabangsa puji pendirian Ismail Sabri ke atas Myanmar

JAKARTA: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Antarabangsa dan media Indonesia memuji keberanian Perdana Menteri Malaysia yang lantang bersuara mengenai nasib rakyat Myanmar dan kekejaman dialami mereka di negara yang di perintah tentera.

Badan bukan kerajaan (NGO) Human Rights Watch yang berpangkalan di New York memperakui pendirian berprinsip dan membina Datuk Seri Ismail Sabri supaya Malaysia dan ASEAN bertindak balas secara berkesan terhadap kekejaman junta tentera.

Dalam ucapan di hadapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, Ismail Sabri menegaskan bahawa “Malaysia kecewa kerana tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC)”, yang dipersetujui semasa sidang kemuncak kumpulan itu di Jakarta pada 2021.

Menurut NGO itu, perdana menteri telah menyatakan kebimbangannya bahawa dalam bentuk semasanya, ASEAN ‘5PC tidak boleh diteruskan lagi’, dan perjanjian baharu ‘yang diperhalusi’ perlu dicapai ‘berdasarkan rangka kerja yang lebih jelas, tempoh masa serta matlamat akhir’.

NGO itu dalam satu kenyataan berkata ia mendapati junta telah menyalahgunakan kuasanya secara menyeluruh dan sistematik sejak rampasan kuasa pada Februari 2021, – termasuk pembunuhan, penyeksaan dan memenjarakan orang yang tidak bersalah yang menyamai jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Pendirian Ismail Sabri dalam isu Myanmar turut menarik perhatian akhbar berpengaruh Indonesia bulan lepas. The Jakarta Post menekankan bahawa perdana menteri menetapkan duluan diplomatik yang penting untuk ASEAN.

Editor kanannya Kornelius Purba dalam ulasannya berkata, “Ismail Sabri, secara terbuka mengkritik Majlis Keselamatan PBB kerana melakukan terlalu sedikit untuk membantu rakyat Myanmar melarikan diri daripada tindakan keganasan terhadap rakyat oleh pemimpin junta Jen Min Aung Hlaing”.

“Kita wajar berterima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri yang bercakap bagi pihak ASEAN, dan kerana membangkitkan isu dan idea yang besar atas nama pemimpin rantau ini,” katanya.

Dalam satu pendapat berasingan baru-baru ini, Kornelius berkata perdana menteri telah melakar pencapaian yang besar, terutama dalam dasar luar negara.

“Sokongannya yang tidak berbelah bahagi untuk kempen ASEAN menentang pemimpin junta Myanmar sangat penting dalam menyatukan kumpulan serantau itu untuk berhadapan campur tangan kuasa besar,” katanya.

Pemimpin dari ASEAN dijadual bertemu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, bermula Jumaat. Myanmar akan menjadi tumpuan utama pada Sidang Kemuncak itu ketika para pemimpin membincangkan tindakan seterusnya untuk menangani krisis yang semakin meruncing di negara pimpinan junta itu.BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button