BANGI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dinobatkan sebagai CDERT terbaik menerusi penarafan Bintang Emas oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersempena Majlis Sambutan Dekad Platinum APM Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad mewakili Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Anugerah disampaikan oleh Datuk Dr. Abd Latiff kepada Penaung CDERT MAPIM Malaysia, Pesuruhjaya Kehormat (PA) (Dr.) Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia.
Bintang Emas adalah satu anugerah penarafan tertinggi bintang CDERT Pertahanan Awam atas kejayaan CDERT MAPIM Malaysia dalam gerak kerja kemanusiaan dalam serta luar negara antaranya bantuan kemanusiaan bencana Tsunami dan gempa di Palu, Indonesia, Gaza Palestin, Syria, Lubnan, Afrika dan lainnya. Penarafan ini juga dinilai menerusi program penaziran yang dilakukan secara berkala bertujuan untuk menilai prestasi CDERT sentiasa proaktif, berdaya saing dan memberi manfaat seluasnya kepada masyarakat.
“Tahniah MAPIM Malaysia sepatutnya dah lama terima anugerah ini, keep it up & congratulations!,” ucap Datuk Dr. Abd Latiff selepas menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia.
“Mewakili seluruh warga kerja aktivis MAPIM, kami teruja dan gembira sekali kerana kerja buat MAPIM diiktiraf oleh APM. Ini manifestasi bahawa Civil Society Organization (CSO) memainkan peranan penting untuk sinergi bersama dengan semua pihak. Menjadi hasrat MAPIM yang merupakan sebuah organisasi perunding, untuk membawa naratif kemanusiaan dan kesukarelawan menjadi satu budaya untuk rakyat Malaysia. MAPIM sentiasa bersiap siaga dan sentiasa bersama saat susah & senang Ummah,” kata (Dr.) Sani Araby. Beliau juga baru tiba dari Palu Indonesia merasmikan empat buah masjid yang dibina hasil sumbangan JAKIM-JAWI dan rakyat Malaysia.
Majlis Sambutan Dekad Platinum APM ini turut dihadiri Pengurusan Tertinggi APM, Pegawai-Pegawai Kanan APM, Pengarah-Pengarah APM Negeri, Komandan Pusat Latihan APM, Pegawai-pegawai Kehormat serta Bersekutu dari seluruh negara.
“Kita menilai semua pasukan CDERT dalam tempoh 6 bulan & CDERT MAPIM paling layak untuk Anugerah Bintang Emas ini. Kita tidak melihat dimana mereka berdiri tetapi keikhlasan mereka memberi. MAPIM ada ciri-ciri tersebut dan diharapkan MAPIM boleh menjadi contoh dan model untuk CDERT baru mahupun lama dalam menjadikan CDERT pasukan yang berkualiti,” jelas Ketua Pesuruhjaya APM, YAS KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed
MAPIM Malaysia turut memaklumkan dalam rangka menggandakan kesiapsiagaan menerusi latihan simulasi lapangan dengan 3000 sukarelawan MAPIM Rangers agar dapat menjadi first responder sekiranya diperlukan saat bencana.