Golongan manusia tidak dapat cium bau syurga
Oleh : Khai – Wartawan Pelatih Ummah Today
Dunia ini adalah kehidupan sementara yang menjadi medan mengumpul amalan untuk mendapat rahmat Allah SWT. Kita sebagai manusia tidak akan dapat lari dari membuat dosa dan lari dari pelbagai ujian.
Kita selalu dengar nasihat supaya berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara. Ini kerana kita bimbang perkara yang kita lakukan tidak mengikut ajaran agama.
Ini antara 4 golongan manusia yang tidak akan mencium bau syurga kerana amalannya bertentangan dengan syariat.
- Wanita yang berpakaian tetapi telanjang
Nabi SAW bersabda:
“Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian, tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Kini, kita boleh lihat ramai wanita memakai pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup. Hadis ini jelas menyatakan keadaan wanita akhir zaman yang berfesyen tidak mengikut syariat Islam boleh menarik mata lelaki untuk melihatnya.
Antara ciri-ciri pakaian itu ialah nipis, jarang, singkat dan menampakkan bahagian utama badan.
2. Manusia yang sombong
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang lelaki meninggal dunia dan ketika dia meninggal di dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar sebiji sawi, akan haram baginya mencium bau syurga atau melihatnya. Lalu seorang lelaki daripada suku Quraisy yang bernama Abu Raihanah berkata: “Demi Allah wahai Rasulullah, aku benar-benar menyukai keelokan dan menggemarinya sehingga pada gantungan cemetiku dan juga pada tali sandalku!’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Itu tidaklah termasuk al Kibr (sombong), sesungguhnya Allah Azza wajalla itu indah dan menyukai keindahan. Akan tetapi al Kibr itu adalah siapa yang bodoh terhadap kebenaran kemudian meremehkan manusia dengan kedua-dua matanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini menjelaskan orang yang sombong tidak dapat menerima kebenaran yang telah jelas di depan mata tetapi menyusahkan orang lain. Justeru, golongan yang sengaja menyelewengkan fakta untuk kepentingan sendiri adalah mereka yang sombong.
3. Wanita yang memita cerai tanpa alasan yang kukuh
Antara punca penceraian adalah tiada persefahaman, pasangan curang, campur tangan keluarga serta masalah kewangan. Penceraian sebab hal remeh boleh diselesaikan dengan berbincang antara satu sama lain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Seseorang wanita yang meminta cerai kepada suaminya bukan kerana kesalahan, maka haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Justeru, penceraian berlaku juga melibatkan isteri memeinta cerai tanpa alasan yang kukuh. Oleh itu, wanita tidak akan menghidu bau syurga.
4. Orang yang menisbatkan nasab diri kepada selain ayahnya
Seseorang yang mengaku sebagai anak orang lain atau tidak mengaku bapanya sendiri tidak dapat mencium bau syurga.
Baginda Nabi SAW bersabda:
“Barang siapa yang mengaku memiliki hubungan nasab kepada selain ayahnya, maka syurga menjadi haram baginya, padahal bau syurga dapat dicium sepanjang jarak perjalanan lima ratus tahun.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Manusia kini lupa akan jasa ayahnya sendiri. Mereka sanggup menasabkan diri mereka kepada ayah yang lain-lain untuk mengelakkan diri dari hidup susah untuk mengejar kemewahan dan kecerdikan.
Sebagai manusia kita perlu melihat perkara ini sebagai tingkah laku seharian agar tidak terjerumus dalam golongan yang disebut sebagai golongan yang tidak mencium bau syurga.