DuniaSemasa

Dua daripada tiga kanak-kanak di seluruh dunia dijangka buta huruf

NEW YORK : Dalam tempoh beberapa tahun lagi, dua daripada tiga kanak-kanak di seluruh dunia dijangka tidak boleh membaca atau buta huruf.

Memetik laporan antarabangsa, ramalan itu dibuat berdasarkan jumlah kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak boleh membaca dan memahami ayat yang mudah mececah 64.3 peratus.

Amaran itu disuarakan oleh Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amina Mohammed dalam sidang akhbar mengenai Sidang Kemuncak Pendidikan Transformasi yang akan diadakan.

“Sistem pendidikan berdepan pelbagai cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Krisis pendidikan semakin meluas sehingga melangkaui isu akses dan ketidaksamaan,” menurutnya.

Dalam pada itu, peperangan dan bencana yang melanda Afrika, Asia, Asia Barat dan Amerika Selatan telah menyebabkan seramai 222 juta golongan muda yang tinggal di negara tersebut tidak mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti.

Berdasarkan analisis yang dilakukan oleh dana global PBB, Education Cannot Wait (ECW), seramai 78.2 juta kanak-kanak yang dilanda krisis berkenaan, tercicir daripada pendidikan.

Malah, jumlah kanak-kanak yang gagal mencapai tahap kompetensi minimun dalam membaca dan matematik walaupun bersekolah adalah seramai 119.6 juta.

“Angka ini menunjukkan kesedaran yang tinggi bahawa transformasi tidak menjadi pilihan lagi, malah ia merupakan keperluan,” jelas laporan analisis itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button