Semasa

RUU Insolvensi (Pindaan) 2020 diluluskan

Pinda nilai ambang hutang minimum RM50,000 ke RM100,000

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.

RUU itu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan pada 12 Ogos lalu, diluluskan tanpa sebarang pindaan menerusi undian suara.

Datuk Takiyudin ketika menggulung RUU berkenaan berkata, pindaan itu dibuat berikutan data di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan individu berusia 35 tahun ke bawah adalah golongan paling tinggi terjejas.

Kerajaan sudah mengkaji undang-undang berkaitan muflis melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534) yang berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu.

“Akta ini juga memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 33C iaitu pelepasan automatik yang mana tempoh muflis ditadbir selama tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal orang muflis dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melayakkan mereka dilepaskan secara automatik.

“Sebagai contoh, amalan di Hong Kong mengambil masa empat tahun, tiga tahun di Thailand, Australia dan New Zealand.

“Orang muflis dalam memohon Pelepasan Automatik ini hendaklah mematuhi syarat digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 (Akta 360), ” katanya.

Beliau berkata, pindaan itu dapat membantu dan memudahkan orang muflis untuk memahami dan mematuhi arahan berdasarkan undang-undang ditetapkan.

“Kunci utama seseorang yang muflis supaya statusnya tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama penuh dan mematuhi arahan MdI,” katanya. -Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button