Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
MEKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sedang menunaikan ibadah Umrah bagi pihak mendiang Ratu Elizabeth II di Kota Suci Mekah.
Berdasarkan laporan The Guardian, lelaki tersebut telah memuat naik video di media sosial memaparkan dirinya berada di Masjidil Haram pada Isnin.
Dalam video tersebut menunjukkan lelaki warga Yaman itu sedang memegang sehelai kain rentang dengan tulisan dia mahu melaksanakan Umrah untuk Ratu Elizabeth II.
“Umrah untuk Ratu Elizabeth II, kami berharap dia diterima di syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman”
Selepas penularan video tersebut, wargayamaya khususnya di Twitter meminta agar lelaki itu ditahan. Kerajaan Arab Saudi telah melarang jemaah untuk membawa kain rentang serta melaungkan sebarang slogan.
Dalam kemaskini terbaru memaklumkan bahawa lelaki itu sudahpun ditahan dan tindakan undang-undang bakal diambil keatasnya.
Umat Islam masih dibenarkan menunaikan Umrah bagi pihak orang yang telah meninggal dunia tetapi tidak kepada orang yang bukan beragama Islam.