Hujan membawa rahmat, Setiap titisan hujan bersamanya seorang malaikat
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Jika tibanya waktu hujan, ada diantara kita bersyukur dan memandang hujan ini sebagai rahmat daripada Allah SWT.
Namun tidak kurang ada juga yang memandang hujan ini sebagai satu bencana kerana telah menyekat aktiviti mereka dan membawa masalah buat mereka.
Namun begitu, di dalam Islam melihat dan mengatakan bahawa hujan merupakan satu rahmat dari Allah. Ini kerana hujan membawa banyak kebaikan terhadap makhluk di bumi. Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:
“Dan di antara tanda-tandaNya (ialah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan yang menghidupkannya pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Surah Fushilat: 39
Hujan yang turun itu membawa keberkatan dengan mekarnya kembali pelbagai tanaman dan kehidupan. Namun apa yang lebih utama ialah sekiranya hujan itu turun bersamanya malaikat. Kerana itu terdapat rahmat di dalam hujan.
Rasulullah SAW bersabda: Pada suatu malam aku diperjalankan untuk mikraj ke langit, lalu aku melihat malaikat yang mempunyai seribu tangan, dan setiap tangan mempunyai seribu jari-jemari. Malaikat itu menghitung dengan jari-jemarinya, lalu aku bertanya kepada Jibril.
Siapakah malaikat itu dan apa yang sedang dihitungnya?
Jibril menjawab:
Dia adalah malaikat yang ditugaskan untuk menghitung setiap titisan hujan, ia menghafal setiap titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi. Kemudian aku bertanya kepada malaikat itu
Apakah kamu mengetahui berapa titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi sejak Allah menciptakan dunia?
Ia menjawab, Ya Rasulullah! demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran kepada makhluk-Nya, aku tidak hanya mengetahui setiap titisan hujan yang turun dari langit ke bumi, tetapi aku juga mengetahui secara inci berapa jumlah titisan hujan yang jatuh di lautan, di daratan, di bangunan, di kebun, di tanah yang bergaram, dan yang jatuh di kuburan.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi:
Aku kagum terhadap kemampuan hafalan dan ingatanmu dalam perhitungan itu. Kemudian malaikat itu berkata, Ya Rasulullah! ada yang tak sanggup aku menghafal dan mengingatnya dengan perhitungan tangan dan jari-jemariku ini.
Rasulullah SAW bertanya,
Perhitungan apakah itu?
Ia menjawab:
Ketika suatu kaum dari umatmu menghadiri suatu majlis, lalu namamu disebutkan di majlis itu, kemudian mereka berselawat kepadamu. Pahala selawat mereka itulah yang tidak sanggup aku menghitungnya. (Al-Mustadrak Syeikh An-Nuri, jilid 5: 355, hadis ke 72).
Dalam hadis lain yang diceritakan oleh Ibnu Abbas menyebutkan:
Setiap titisan hujan itu ada bersamanya seorang malaikat yang akan meletakkan titisan itu pada tempatnya. Status hadis ini disepakati ulama sebagai hadis mauquf.
Dari dalil di atas, jelas bahawa setiap titisan hujan yang turun ke bumi sebenarnya bukanlah Allah turunkan sia-sia buktinya terdapat malaikat yang ditugaskan untuk menghitung setiap titisan hujan yang turun.
Bahkan dalam setiap titisan hujan yang turun terdapat seorang malaikat yang ikut turun bersamanya membawa rahmat bukan sahaja untuk satu-satu makhluk tetapi menyeluruh ke sekalian makhluk.
Barangkali kita merasakan hujan itu satu beban dan masalah pada kita namun percayalah, tanpa kita sedari ia memberi kebaikan kepada makhluk yang lain. Apa yang pasti bersyukurlah kerana hujan masih turun kepada kita. Wallahu a’lam