Semasa

Kepelbagaian kaum Keluarga Malaysia Perumahan Awam Sri Melaka sambut mobile clinic MAIWP-MAPIM

CHERAS : Kehadiran bas Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini disambut baik oleh penduduk Perumahan Awam (PA) Sri Melaka, Cheras. Mobile clinic hadir bagi menyantuni kepelbagaian kaum penduduk di sekitar kawasan ini dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga setempat.

Menurut Pengerusi Perumahan Awam tersebut, Johan Said pihak mereka memang sentiasa mengalu-alukan program yang mendatangkan kebaikan kepada penduduk setempat sepertimana program saringan kesihatan yang diadakan hari ini.

“Terima kasih atas inisiatif kedua-dua pihak iaitu MAIWP-MAPIM ini yang sangat meringankan beban penduduk di Perumahan Awam Sri Melaka ini tidak mengira bangsa Melayu, Cina atau India.

“Kebanyakan penduduk di sini adalah terdiri daripada golongan B40 dan warga emas yang mengalami kesukaran untuk hadir ke klinik atas faktor umur, jadi Alhamdulillah mobile clinic datang dekat dengan kita, jadi senanglah urusan pemeriksaan kesihatan penduduk di sini,” katanya.

 


Dalam pada itu, Johan memaklumkan bahawa pihak mereka mendapat tahu mengenai mobile clinic MAIWP-MAPIM ini menerusi pengerusi di Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) lain yang pernah menjadi lokasi mobile clinic sebelum ini.

Beliau amat menggalakkan orang ramai tidak kira bangsa atau umur untuk mengambil peluang menggunakan khidmat bas klinik bergerak ini.

Untuk hari ini, dua orang doktor sukarelawan bertugas dan telah berjaya memeriksa seramai 35 pesakit serta dibantu oleh 8 orang sukarelawan yang bersama-sama berganding bahu menjayakan program pada hari ini. Program klinik bergerak Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini akan meneruskan khidmat sehingga esok (Sabtu).

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button