SINGAPURA : Seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura telah disahkan menghidap jangkitan cacar monyet di republik itu.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu, pesakit itu telah dimasukkan ke wad di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID) setelah disahkan positif cacar monyet pada 6 Julai.
Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil dan kesnya ini tiada kaitan dengan kes import sebelum ini yang diumumkan pada 21 Jun lalu.
“Pada awalnya mangsa menyedari kesan luka pada kulit di bahagian perutnya pada 30 Jun, dan kemudiannya mengalami keletihan dan bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai.
“Seterusnya, mangsa mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Julai lalu dan mendorongnya untuk mendapatkan rawatan, di mana ujian seterusnya mengesahkan jangkitan cacar monyet,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, setakat semalam beberapa kontak rapat mangsa telah dikenal pasti termasuk dua rakan serumah dan seorang kontak sosial, kesemua mereka menjalani kuarantin selama 21 hari bermula dari hari terakhir bertemu mangsa.
MOH menjelaskan bahawa mangsa cacar monyet lazimnya sembuh dalam tempoh antara dua hingga empat minggu, dengan hanya sebilangan kecil mangsa jangkitan mengalami kesan serius atau maut.